Dengan rasa rendah diri sebagai hamba yang tidak penah lari dari melakukan kesilapan dan sentiasa membuat anjakan dalam diri untuk menjadi yang terbaik bersesuaian dengan saranan rasulullah s.a.w yang mengkehendaki umatnya agar menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya. Agak lama penulis memikirkan method yang sesuai untuk disampaikan dan dikongsikan bersama kepada pembaca.Bersesuaian dengan kajian ilmiah yang penulis sedang lakukan, penulis rasa tertarik dengan kausa kata ‘MERAKYATKAN PERLEMBAGAAN”. Pesoalan ini timbul kerana Penulis merasakan sudah tiba masanya rakyat umumnya dan mereka yang inginkan perubahan dalam negara khususnya perlu dan menjadi kemestian untuk memahami serta mengetahui peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam perlembagaan persekutaan. Hal ini kerana di dalamnya terkandung hak-hak kita sama ada dari aspek individu, sebuah kumpulan atau organisasi mahupun agama yang kita anuti. Kurangnya pengetahuan kita berkaitan hak-hak ini maka mudahlah kita diperkotak-katikkan atau menjadi seumpama lalang yang tidak tahu mana arah tujunya.
Umumnya mengetahui bahawa undang-undang merupakan jantung kepada sesebuah Negara. Lumpuhnya sistem undang-undang sesebuah negara maka lumpuhlah institusi sesebuah negara itu. Hal ini kerana undang-undanglah yang akan mengawal segala tindak-tanduk perilaku daripada peringkat individu, kumpulan sehinggalah pemerintahan. Atas rasa pertanggungjawaban, di bawah tajuk ini penulis akan cuba menghuraikan secara ringkas dengan memperkenalkan serba sedikit berkaitan dengan “PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN”
Prof Abdul Aziz Bari yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malasyia (UIAM) mendefinisikan perlembagaan adalah sesuatu unsur atau peruntukan yang dianggap sebagai asas jika ia:
(i) telah wujud lama dan dikekalkan
(ii) tidak boleh dibuang atau diubah tanpa melalui prosuder yang ketat
(iii) dan menjadi ukuran atau tanda aras kepada peruntukan atau amalan di dalam negara.
John Kelly sarjana barat mendefinisikan bahawa perlembagaan bukanlah suatu yang muncul secara tiba-tiba sebaliknya merupakan sebuah sistem atau kerangka yang mengambil masa beberapa lama untuk berakar di dalam masyarakatnya
Menyentuh kepada ciri-ciri perlembagaan persekutuan. Perlembagaan kita adalah perlembagaan bertulis. Bagaimanapun ia tidak merangkum atau menyediakan segala-segalanya. Selain itu perlembagaan bersifat rigid kerana ia hanya boleh dipinda melalui cara prosedur yang tertentu. Kita boleh menyebut bahawa perlembagaan ini bersifat monarki dan persekutuan. Ciri-ciri ini menyebabkan peruntukan mengenai pindaan perlembagaan dan pembuatan undang-undang agak unik.
Ini termasuklah prosedur yang memberikan kata putus kepada badan-badan di luar parlimen seperti Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak. Prosedur ini memberikan sifat rigid buat perlembaagaan kita. Dengan adanya sifat ini perlembagaan tidak boleh dipinda melalui proses demokrasi semata-mata. Perlembagaan Persekutuan mempunyai sejarah yang ada hubungannya dengan dua dokumen yang terdahulu. Dokumen itu ialah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan pada tahun 1963 mengandungi 183 perkara. Perlembagaan ini mengandungi perlbagai peruntukan seperti senarai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Institusi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Badan Kehakiman. Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan. Oleh itu pelembagaan negara telah membuat pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ini diperuntukkan dalam Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
Faham perlembagaan adalah falsafah atau semangat yang mendasari demokrasi berperlembagaan, sesuatu yang menjadi roh kepada semua perlembagaan negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Maka bolehlah diibaratkan, dalam konteks perundangan Islam, dengan maqasid al-syari'ah; iaitu tujuan atau falsafah murni yang melatari setiap prinsip perundangan dalam Islam.
Dari segi konsep dan perlaksaannya pula. Faham perlembagaanlah yang menjadi nyawa kepada sesebuah perlembagaan. Tanpanya perlembagaan akan hilang seri dan menjadi sebuah catatan yang hanya mempunyai perincian dan pembahagian kuasa, tetapi kosong dengan keadilan dan kemurnian.
Dari sudut penafsiran, faham perlembagaan amat perlu kerana ia adalah prinsip yang boleh menyelesaikan persoalan-persoalan yang rumit dalan undang-undang perlembagaan. Keperluan ini wujud kerana, adakalanya, pemakaian prinsip-prinsip biasa undang-undang perlembagaan membawa kepada timbulnya hasil atau kesimpulan yang tidak munasabah. Sememangnya apabila undang-undang ditafsir atau difahami dalam konteks yang berlainan ia boleh menghasilkan tafsiran yang tidak masuk akal. Dalam keadaan-keadaan yang ekstrem ia malah menentang semangat dan falsafah undang-undang itu sendiri.
Perjalanan perlembagaan juga mengguna pakai doktrin pengasingan kuasa di dalam perlaksanaannya. Sebuah negara itu bukan setakat mesti mempunyai perlembagaan, tetapi perlembagaan itu juga mestilah mampu bergerak dengan baik serta menjamin satu pemerintahan yang adil dan boleh menjamin kesejahteraan rakyat jelata. Oleh itu, di sinilah bermula keperluan kepada doktrin pengasingan kuasa agar penyelewengan kuasa dapat dikekang sedari awal. Pada hakikatnya doktrin ini membawa maksud:
(a) Badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan membuat undang-undang; ia tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada badan lain; begitu juga ia tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa yang lain lagi;
(b) Badan yang memerintah hanya dibenarkan menjalankan pemerintahan negara sahaja; ia tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa kehakiman; dan
(c) Badan kehakiman hanya dibenarkan melaksana kuasa; ia tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa pemerintahan.
Inilah gambaran serba sedikit yang penulis dapat kongsikan sebagai gambaran awal kepada pembaca. Bak kata pepatah TAK KENAL MAKA TAK CINTA. Diharapkan perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini dapat membuka minda pembaca untuk mengenali PERLEMBAAGAN PERSEKUTUAN dengan lebih dekat. Penulis akan terus mengupas tajuk ini dan isu-isu yang berkaitan pada masa akan datang. Semoga allah memberi ilham serta kelapangan masa kepada penulis untuk terus mengupas tajuk ini pada masa hadapan AMIN!!!




0 comments:
Post a Comment